Oleh:
DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .
TIDAK ada khilaf dan pertikaian di kalangan ulama
sebagaimana dinukilkan oleh Imam Ibnu Abdil Barr, Imam Nawawi, Imam Ibnu
Taimiyah dan Imam Ibnu Qayyim bahawa sedekah orang yang hidup bagi
pihak si mati memberi manfaat kepada si mati.
Antara dalilnya
ialah hadis riwayat Imam Bukhari dan Abu Dawud daripada Sahabat Nabi SAW
bernama Ibnu Abbas radiyallahu 'anhuma bahawa Sa'ad bin 'Ubadah
radiyallahu 'anhu (1) bertanya kepada Nabi SAW;
يَا رَسُولَ
اللَّهِ إِنَّ أُمِّي تُوُفِّيَتْ وَأَنَا غَائِبٌ عَنْهَا فَهَلْ
يَنْفَعُهَا شَيْءٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ قَالَ
فَإِنِّي أُشْهِدُكَ أَنَّ حَائِطِيَ الْمِخْرَافَ صَدَقَةٌ عَلَيْهَا
Maksudnya:
"Wahai Rasulullah SAW, Ibu saya telah mati ketika ketiadaan saya.
Adakah memberi manfaat kepadanya sekiranya saya bersedekah sesuatu bagi
pihak ibu saya?" Nabi mengiyakan.
Kata Sa'ad; Justeru, saya bersaksikan kamu wahai Rasulullah SAW bahawa kebun kurma saya menjadi sedekah atas pihak ibu saya".
(1) Sa' bin 'Ubaadah adalah pimpinan suku Khazraj di Yathrib dan meninggal di bumi Syam tahun ke 15 H.
Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Aisyah radiyallahu 'anha:
أَنَّ
رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ :
يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ ،
وَأَنَا أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ
إِنْ أَتَصَدََّق ُ
عَنْهَا ؟ قَالَ : نَعَمْ " .
Maksudnya:
"Seorang lelaki datang bertemu Nabi SAW dan berkata; wahai Rasulullah
SAW, ibu saya telah meninggal secara mengejut sedangkan beliau tidak
memberi sebarang wasiat. Saya rasa sekiranya dia boleh bercakap pasti
dia bersedekah. Adakah beliau mendapat pahala sekiranya saya bersedekah
bagi pihaknya? Baginda menjawab; "ya".
Amalan ini juga disokong oleh Hadis Sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah radiyallahu 'anhu bahawa Nabi SAW bersabda
إِذَا
مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلا مِنْ ثَلاثٍ : صَدَقَةٍ
جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو
لَهُ
Maksudnya: "Apabila mati seorang manusia terputuslah
amalannya melainkan 3 iaitu sedekah jariyah atau ilmu yang dimanfaatkan
atau anak yang soleh yang sentiasa berdoa bagi dirinya."
Hadis diriwayatkan juga oleh Imam Tirmizi, Imam Abu Dawud, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad dan Ibnu Khuzaimah.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah radiyallahu 'anhu bahawa seorang lelaki berkata kepada baginda SAW;
إِنَّ أَبِي مَاتَ وَتَرَكَ مَالًا وَلَمْ يُوصِ فَهَلْ يُكَفِّرُ عَنْهُ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهُ ؟ قَالَ : نَعَمْ ٍ
Maksudnya:
"Bapa saya telah meninggal dunia dan meninggalkan harta sedangkan dia
tidak membuat sebarang wasiat. Adakah menjadi satu kaffarah bagi dosanya
sedekah saya bagi pihaknya? Baginda SAW mengiyakan.
Menurut Imam
Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, hadis di atas mengandungi dalil
keharusan dan galakan sunat bersedekah bagi pihak si mati dan pahalanya
sampai dan memberi manfaat kepadanya di samping juga memberi manfaat
pahala kepada orang yang bersedekah itu sendiri. Hukum ini telah
disepakati oleh umat Islam.
Hadis-hadis ini menggambarkan hasrat
tinggi anak-anak untuk melakukan kebajikan yang memberi manfaat kepada
ibu bapa mereka yang telah meninggalkan dunia ini. Peluang mereka yang
telah mati untuk beramal telah berakhir. Tinggal lagi anak-anak dan
zuriat yang mempunyai kesedaran untuk memanjangkan pahala mereka dengan
bersedekah.
Cukuplah ibu bapa berbakti menggembeleng tenaga dan
harta di saat kita kecil lalu apakah pula kebaktian kita buat mereka
melibatkan harta yang kita miliki hasil daripada usaha gigih mereka
membesarkan kita?
Bersedekah bagi si mati menjadi satu amalan
kebajikan si anak kepada ibu dan bapa yang telah pergi selain daripada
doa yang berterusan. Ia termasuk di bawah umum gesaan Allah Taala dalam
firman-Nya
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ
Maksudnya:
"dan perhambakanlah diri kamu kepada Allah dan jangan mensyirikkan
dengan-Nya sesuatu dan dengan kedua ibu-bapa hendaklah dilakukan ihsan
kebajikan." Surah al-Nisa ayat 36.
Hari ini begitu ramai
anak-anak yang mewarisi harta benda seperti tanah dan wang tunai
daripada ibu bapa mereka yang telah kembali ke rahmatullah hanya ghairah
berebut dan mengagihkannya sesama pewaris dan dimanfaatkan untuk
peribadi kehidupan dunia mereka. Apatah lagi sekiranya para pewaris
sendiri tidak terlalu berhajat kepada harta warisan lalu dibiarkan beku
tanpa dimanfaatkan.
Tidakkah mereka terfikir sekiranya sebahagian
warisan itu disedekahkan dan diwakafkan bagi pihak ibu bapa mereka ia
akan menjadi pahala yang panjang buat mereka yang telah pergi dan
menjadi satu kebaktian anak-anak kepada ibu-bapa mereka.
Marilah kita menghidupkan sunnah ini, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang dijanjikan gandaan pahala ini.
Sumber: HD
Sunday, 13 July 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment